Showing posts with label kehidupan. Show all posts
Showing posts with label kehidupan. Show all posts

Sunday, December 18, 2011

cinta yang terpendam


" Wahai Tuhanku, kami telah lalai lupa
 namun setiap orang daripada kami tetap tamakkan keampunanMU
dan sifat pemurahMU
dan kebebasan daripada nerakaMU
dan juga syurga bersama-sama penghulu seluruh manusia
kami mohon padaMU
mohon sangat padaMU dari sudut hati kami yang amat dalam..."  


Sudah lama bicara hati ini terpendam, semakin dilupakan tetapi terlalu banyak cerita yang ingin dikongsikan demi cintaNya yang tidak pernah terpadam. Wahai pemilik jiwa, ketahuilah tubuh yang bersama-sama kalian ini akan pergi ke tempatnya dan kalian akan kembali semula kepadaNya. Bila nyawa berpisah dengan tubuhnya, bagaimana nasibku? inilah yang ku pendam selama ini, berbulan-bulan aku memikirkannya....cukupkah amal yang ku lakukan ini? ikhlaskah amal yang ku bawa? redhakah DIA dengan segala perilaku yang ku hadapkan?

Ketahuilah pemilik hati, aku semakin bingung memikirkannya. Semalam suatu peristiwa hidup yang perlu dilupakan, ia tidak akan kembali walau seribu titisan air mata mengalir kerana kekesalan. Dan hari ini adalah sebuah cerita yang benar-benar berlaku dan akan menjadi misteri sehingga ke esok harinya. Adakah aku masih ada harapan?


Mereka sibuk dengan hal dunia, aku takut dan semakin takut kerana.....di akhirat kelak aku tidak dapat menjawap segala pertanyaanNya. adakah akan ku jawap, aku lakukan segala urusan itu keranaMu ya Allah...ikhlaskah hatiku? atau aku lakukan kerana aku rasa 'wujud diri', aku 'hebat', aku yang paling 'alim', aku yang 'berkuasa', aku 'kaya' dan aku..aku..aku..



 " Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku
aku tidak sedar akan kesombonganku
aku tidak lihat ketakburanku
aku tidak nampak keaibanku
aku tertipu selama ini aku leka,lalai dan lupa akan kejadianku
Ya Tuhanku, bantulah aku ke jalan yang benar..."

Cinta ini bermula dengan sebuah perjalanan yang penuh onak dan duri. Ketahuilah penilai jiwa, setiap nafas yang dihembus itu sentiasa bertasbih kepadaNya. Dengarlah suara-suara itu, ia ketandusan cinta Ilahi. Ia tercari-cari kebenaran yang akan mewarnai kehidupan mereka. Adakah kalian mengerti akan bahasa rindu mereka? kalian tidak akan memahaminya kerana kalian berada dalam sebuah rumah yang gelap. kalian jauh untuk memahaminya...bahasa cinta Ilahi terlalu halus dan sangat halus. Hanya mereka yang memahaminya akan merasai cintaNya. Cinta itu berada dalam kegelapan tanpa disinari cahaya yang memukau. Cinta itu perlu dikeluarkan kerana ia telah berjanji pada Ilahi suatu masa dulu. Ingatkah kalian akan perjanjian kalian padaNya dalam surah al-A'raf, ayat 172 yang bermaksud :

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi (tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap ruh mereka (dengan berfirman kepada mereka): ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu?’. Mereka menjawab: ‘Betul, (Engkaulah Tuhan kami), kami bersaksi’. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan; ‘Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini’”.

Perjanjian kalian dengan Allah SWT telah termaktub dalam kitab suci ini. Kalian dijadikan bukan untuk cintakan dunia tetapi untuk beribadah kepadaNya. Kalian boleh mengambil dunia tetapi jangan mencintainya. Pengakuan kalian adalah bukti bahawa kalian pernah berjanji akan mentauhidkanNya. adakah perjanjian itu hanyalah sebuah perjanjian sahaja? tiadakah ada rasa kekesalan tidak dapat membuktikan perjanjian tersebut? wahai pemilik hati, masa kita semakin singkat berbanding saat-saat yang lalu. Walaupun kita masih muda, tidak bermakna kita akan hidup untuk esok hari. Kembalilah kepada yang benar, dirimu akan damai dengan mengingatiNya.

dari hati ke hati...luahan ini hanyalah dari hati yang bingung, jiwa yang tercari-cari kebenaran...maafkanlah jiwa ini.

Friday, November 5, 2010

untukmu khalifah dunia : Allah menyembunyikan 6 perkara

Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang, sayap itu antara timur dan barat( ada pendapat lain menyatakan 124,000 sayap ). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya dan berkata:

" Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?."

Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud.." Tidak "

Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah SWT dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun. Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. " Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang yang menyembah kepadaku seperti ibadah kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad saw. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi KemuliaanKu dan KetinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu."

Kemudian Jibrail as berkata: " Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka? "

Lalu Allah berfirman yang bermaksud. " Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal..."

Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa. Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat Jibrail as selama 3000 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud :

" Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?"

Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud." Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan...."

Marilah sama-sama kita fikirkan dan berusaha lakukan...Sesungguhnya Allah SWT telah menyembunyikan 6 perkara iaitu : 

  • Allah SWT telah menyembunyikan redhaNya dalam taat.
  • Allah SWT telah menyembunyikan murkaNya di dalam maksiat.
  • Allah SWT telah menyembunyikan namaNya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
  • Allah SWT telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
  • Allah SWT telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat ( yang 5 waktu ).
  • Allah SWT telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.

sesungguhnya Allah SWT amat mencintai hambaNya...marilah kita munasabahkan diri...


Tuesday, October 26, 2010

mencapai sempadan kesabaran


wahai sahabatku,semoga kalian dilimpahi rahmatNya walau di mana kamu berada. Sesungguhnya Dia sentiasa berada disisimu, Dia sentiasa mencintaimu...sedangkan kamu selalu menyalahiNya. Lihatlah perbuatan kalian...kalian sentiasa menyalahi takdirNya tetapi Dia tidak membalas dengan kehinaan ke atas kalian, malah Dia membalas dengan nikmat yang banyak. Dia menghidupkan dirimu sehingga ke hari ini, Dia memberi kalian rezeki berupa wang, rumah, makanan, minuman, pakaian, kecantikkan, kegembiraan, persahabatan, keluarga dan bermacam-macam lagi. Tidak dapat kalian menghitungnya walau kalian sendiri pakar dalam ilmu perakaunan...

wahai saudaraku, dengarlah kata hatimu bukan bisikan nafsumu..."OPEN YOUR HEART". Bukalah hati kalian dengan seluas-luasnya, nikmat yang kalian terima terlalu banyak dan bersyukurlah dengan nikmat itu. Balaslah nikmat itu dengan sifat sabar akan kelakuanNya( takdir )...kehidupan ini adalah sebuah permainan, di mana ujian dan dugaan itu sebagai penentu kemenangan dan kekalahan. Bukan kesusahan itu sahaja sebagai ujian, kesenangan juga adalah satu ujian. Hanya dengan mata hati seorang manusia itu dapat menilai. Nilailah dengan mengharap keredhaanNya dan keampunanNya.

BERSABARLAH DEMI REDHANYA

Mengapa kalian hanya melihat pada satu sudut yang hujung sahaja, bukan melihat keseluruhannya. Kalian lebih menafikan takdirNya tetapi kalian tidak mengetahui akan kehadiran hikmah takdirNya. Lihatlah kezaliman kalian sendiri cipta pada diri kalian sendiri. Mungkin saya bukan berada ditempat kalian tetapi tidak mustahil saya tidak diuji oleh Tuan Empunya Dunia. Selagi kita bergelar manusia (hambaNya), kita tetap akan diuji walaupun mereka itu orang kafir.

Ujian dan dugaan setiap manusia sangat berbeza, hanya orang-orang yang bersabar akan berjaya melaluinya. Semakin sabar seseorang itu semakin berat ujian yang mereka terima. Itulah jalan "KEKASIH ALLAH"...Ujian dan dugaan yang kalian lalui bukanlah sekadar penderitaan dan Dia(Allah) tidak mahu menolong kalian tetapi Dia terlalu mencintai kalian. Lihatlah penderitaan Rasulullah SAW, bukankah baginda adalah manusia yang terbaik dan juga kekasihNya ? bukan Allah mengujinya tanpa membantu baginda tetapi Allah mahu meletakkan baginda sebagai makhluk yang terbaik daripada setiap ciptaanNya.

Bagaimana penduduk Thaif yang tidak mahu menerima baginda tetapi baginda tidak membalasnya dengan kekejaman. Baginda mendoakan, semoga keturunan mereka ada yang menyebarkan agama yang mulia ini. Lihatlah sikap Rasulullah, jadilah baginda sebagai tauladan.

Lihatlah kehebatan 4 wanita yang digariskan oleh Rasulullah SAW. Mereka adalah Khadijah, Maryam, Fatimah dan Asiah. Mereka diuji dengan ujian yang amat berat berbanding kita hanyalah sedikit ujian yang diberi tetapi mereka bersabar  dan redha akan kehendak Ilahi. Lihatlah kemuliaan Fatimah Az-Zahra, anak Rasulullah yang diuji dengan keletihan, kepenatan dalam menjalani tanggungjawab sebagai seorang isteri kepada Saidina Ali. Lihatlah Fatimah, menjalani tanggungjwabnya tanpa rasa susah walaupun dia hidup dalam keadaan serba kesusahan. Tidak mengeluh dan tidak mengharap bantuan orang lain. Mengapa Saidina Ali tidak berkahwin lain ketika Fatimah disisinya ? Ini kerana Fatimah telah melakukan tugasnya seperti 4 dalam 1. Maksudnya jika hari ini ada lelaki berkahwin 4, empat orang isteri tersebut bersamaan dengan kekuatan Fatimah Az-Zahra. Lihatlah kesabaran seorang wanita ini dalam menjalani tanggungjawabnya. Tidakkah kalian mahu seperti wanita yang bernama Fatimah ini ? 

Kita lihat pula ibu kepada umat Islam iaitu Siti Khadijah.Kehadirannya dalam hidup Rasulullah SAW membawa seribu makna dan sukar ada pengganti sepertinya walaupun ada sejuta wanita solehah di dunia hari ini. Dia memberi Rasulullah SAW zuriat iaitu Ruqayyah, Ummu Kalsum, Zainab, Al-Qasim, Abdullah, dan Fatimah Az-Zahra. Khadijah juga menjaga dan membenarkan kata-katanya ketika Rasulullah menjadi rasul dan kaumnya tidak menerima ajaran yang benar. Khadijah menjadi ibu ketika Rasulullah dalam ketakutan, Khadijah menjadi isteri ketika Rasulullah memerlukannya, Khadijah menjadi kekasih saat Rasulullah memerlukan cinta dan Khadijah menjadi sahabat ketika Rasulullah dipulaukan oleh kaumnya...itulah keistimewaan Khadijah buat Rasulullah, perlu dicontohi buat semua bakal isteri,ibu-ibu dan wanita solehah. Sentiasa setia disisi suaminya walaupun dugaan yang hebat menerjah keluarganya. Pernah suatu ketika Saidatina Aishah bertanya kepada Rasulullah kerana Aishah begitu cemburu akan Khadijah walaupun Khadijah sudah wafat. Rasulullah SAW membalasnya :

" Demi Allah, wahai Aishah! belum ada ganti yang lebih baik daripada Khadijah. Dia beriman kepadaku ketika orang lain termasuk keluarga dan kaumnya mengingkariku. Dia memeluk Islam, menyara hidupku, menghabiskan kekayaannya menyeru ke jalan Allah di saat orang lain memulaukanku. Dia memberiku zuriat yang tidak akan diperoleh daripada perempuan lain."

Lihatlah kehebatan wanita unggul dalam Islam, tidakkah kalian ingin menjadi seperti mereka? Wahai sahabatku, bersabarlah demi redhaNya. Dengan sifat yang sabar, kita boleh menjadi seperti seteguhnya karang yang ada di laut. Tidak goyah walau dihempas badai yang melanda yang melanda. Kita tetap akan menjadi lemah-lembut sepertimana rumput yang akur dengan belaian angin, tetapi kita tidak akan luruh dan tumbang akibat ditampar dengan ribut taufan yang sengaja datang untuk menyapa kekuatan SABAR yang kita ada.

Sahabatku, contohilah wanita suci Maryam Binti Imran. Walaupun pelbagai tohmahan yang dilontarkan tetapi tidak sesekali Maryam membalasnya dengan dendam. Hanya kekuatan kesabaran yang ada dalam dirinya, Maryam laluinya dengan hati yang tenang. Kerana keyakinan akan janji-janji Allah, dia lalui dengan tabah. Tidakkah sukar perjalanan wanita ini? Menempuhi ujian yang bukan kehendak dirinya dan menerimanya dengan penuh kesabaran. Ingatlah sahabatku, orang-orang yang beriman menjalani kehidupan mereka dengan kesabaran sedangkan orang-orang kafir menjalani kehidupan mereka dengan sesalan.

Jadilah isteri Firaun sebagai tauladan, Asiah Binti Mazahim.Menjadi seorang isteri raja yang paling zalim di dunia tetapi apa yang dibalas oleh Asiah? sabar dan redha. Tidak pernah sesekali meminta ditinggalkan walaupun dia sendiri menderita dan terseksa. Menjadi ibu angkat kepada Nabi Musa as, demi cinta akan kehadiran anak kecil itu Asiah berhadapan dan menyakinkan Firaun Laknatullah, disaat Firaun mengarahkan semua bayi-bayi lelaki dibunuh. Tidakkah kalian malu akan perbuatan kalian terhadap suami kalian, sedangkan sejarah telah menceritakan dahulu kehebatan wanita syurga ini. Adakah suami kalian seperti Firaun yang mengaku dia sebagai Tuhan? Kalian hanya bertengkar dan terseksa kerana perkara dunia tetapi Asiah diseksa bukan kerana hal dunia, Asiah terbunuh kerana cinta pada kekasih hakiki iaitu Allah SWT.

Wahai wanita solehah, andai dulu kalian amat mencintai suami kalian, cintailah mereka hari ini demi Allah dan Islam ! Didiklah anak-anak kalian demi kasih kepada Islam ! Hanya Islam dapat mengubah kehidupan kalian...Islam mengajar kalian erti kasih, sayang, rindu, cinta dan syukur. Islam membawa kalian akan maksud sebenar CINTA ALLAH SWT !!!

Allah SWT tidak pernah mengasari kekasih-kekasihnya, malah membelai mereka dengan penuh nikmat syurga. Begitu juga kita, jangan mengasari orang yang kita sayang...terima segala ujian dan dugaan dengan penuh kesabaran demi redha Allah SWT.

Wahai penilai cinta ! saya juga bukanlah wanita yang sempurna tetapi tidak salah kita semua sempurnakan kehidupan ini dengan mencontohi mereka demi mencari redha Allah, demi Islam ! waallahu'alam...

Wednesday, July 28, 2010

manUSia oH maNUSia


kadang-kala aku terfikir, adakah dunia yang tersedia ini hanya untuk hidup dan mati ? andai untuk mati, mengapa perlu hidup ? TETAPI andai untuk hidup, mengapa perlu mati ? andai manusia tahu ketentuan Ilahi pasti mereka tidak akan mensia-siakan kehidupan ini...pasti ada hikmah di sebalik kehidupan ini. aku yakin terlalu sedikit yang memikirkan tentang diri mereka sendiri, untuk apa mereka dihidupkan di dunia ini...Tidakkah manusia terfikir kehidupan di dunia ini sebuah ciptaan yang luar biasa ? mana tidaknya, lihatlah disekeliling kita bumi yang terbentang luas, langit yang memutih melindungi kehidupan bumi dari cahaya matahari, pohon-pohon yang menghijau melambai-lambai, haiwan-haiwan yang pelbagai jenis dan warna dan juga ragam manusia yang berbeza-beza. Tidakkah ia suatu ciptaan yang begitu luar biasa ?

KEJAMKAH KAMU ?

wahai saudaraku, fahamilah dirimu sendiri andai kamu mahu mengerti mengapa kamu diciptakan ? Jangan kamu berlaku kejam ke atas dirimu sendiri...wahai penilai cinta, dunia yang tercipta untuk kamu menyatakan kesyukuran kepada Penciptamu. lihatlah kejadian dirimu yang penuh hikmah dan luar biasa...perhatikanlah pergerakan jemarimu yang tidak jemu bergerak untuk tuannya, kerdipan matamu yang sentiasa memandumu melihat keindahan alam, nyanyian jantungmu yang selalu memberi kamu ruang untuk terus bernafas, adakah itu perkara biasa bagimu ? Tidakkah kamu terfikir bahawa segala ciptaan itu ada penciptaNya ?

ketahuilah sahabatku, terciptanya dirimu kerana PenciptaMu terlalu menyayangimu. Oleh itu, masihkah kamu mahu menzalimi dirimu sendiri ? mana mungkin Allah SWT menjadikan kamu tanpa kasih sayangNya, kerana terlalu menyayangi dirimu Allah SWT menciptakan kamu...TETAPI kamu sendiri telah mencipta kezaliman pada dirimu sendiri. ya, kamu memang zalim !!! zalim terhadap pemikiranmu....zalim terhadap tubuh badanmu...zalim terhadap segala-galanya...

kamu kata kamu sayang dirimu TAPI kamu masih tidak mahu berubah...kamu selalu memandang serong terhadap pendakwah-pendakwah, dan berkata...

" Jangan sibuk hal aku, aku punya suka apa aku nak buat. Kubur masing-masing, yang kena seksa aku bukan kau. "

ya Allah, mengapa ungkapan itu yang diperkatakan saat bumi semakin mengharapkan kehancurannya...? ya, memang kubur kamu untuk kamu dan kubur aku untuk aku TETAPI kita semua dijadikan dalam kejadian yang sama, kita berada dalam bumi yang sama, kita ditanam dalam tanah yang sama...tidakkah kamu terfikir ? tiada beza kita sebagai hambaNya melainkan hamba yang bertaqwa.

wahai pencinta Ilahi, lihatlah kasih Rasulullah saw, baginda sanggup menerima separuh seksaan umatnya supaya umatnya tidak merasai keperitan saat kematian yang memeritkan...TETAPI kamu hanya senang menerima seksaan itu, tidakkah kamu berfikir? sahabatku, kematian bukan suatu perjalanan yang boleh dibuat bahan permainan. itulah perjalanan yang perlu dilalui oleh setiap makhluk di muka bumi ini. kamu tidak akan kembali selepas nyawamu diambil....fikirkanlah saudaraku. Hanya sekali kamu dihidupkan di dunia ini, tiada dua dan juga sebaliknya. Tiada makhluk akan hidup selama-lamanya.

Janganlah kamu berlaku kejam ke atas dirimu sendiri...sayangilah dirimu kerana dirimu dilahirkan dalam suasana yang penuh kasih sayang. Cintailah hatimu kerana terciptanya hati untuk dicintai dan mencintai.

wahai permata hatiku, Allah SWT sentiasa bersamamu. Di mana sahaja kemu berada, tiada Dia lupa akan kamu. Dia mendengar dan memerhati kamu. Tiada Dia lakukan melainkan untuk kamu, setiap perkara yang Dia lakukan hanyalah untukmu berFIKIR...!! BERSANGKA BAIKLAH kamu terhadap setiap rencana hidupmu, kerana Dia lebih Mengetahui berbanding dirimu sendiri.

dari hati ke hati, tiada lafaz untuk diungkapkan melainkan kumohon seribu kemaafan kepada pembaca andai setiap kata-kata ku ini menggores perasaanmu...aku hanya menjalankan kewajipanku sebagai sahabatmu...maafkan hamba yang hina ini.