Friday, November 5, 2010

untukmu khalifah dunia : Allah menyembunyikan 6 perkara

Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang, sayap itu antara timur dan barat( ada pendapat lain menyatakan 124,000 sayap ). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya dan berkata:

" Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?."

Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud.." Tidak "

Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah SWT dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun. Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. " Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang yang menyembah kepadaku seperti ibadah kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad saw. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi KemuliaanKu dan KetinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu."

Kemudian Jibrail as berkata: " Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka? "

Lalu Allah berfirman yang bermaksud. " Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal..."

Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa. Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat Jibrail as selama 3000 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud :

" Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?"

Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud." Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan...."

Marilah sama-sama kita fikirkan dan berusaha lakukan...Sesungguhnya Allah SWT telah menyembunyikan 6 perkara iaitu : 

  • Allah SWT telah menyembunyikan redhaNya dalam taat.
  • Allah SWT telah menyembunyikan murkaNya di dalam maksiat.
  • Allah SWT telah menyembunyikan namaNya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
  • Allah SWT telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
  • Allah SWT telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat ( yang 5 waktu ).
  • Allah SWT telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.

sesungguhnya Allah SWT amat mencintai hambaNya...marilah kita munasabahkan diri...


Tuesday, October 26, 2010

mencapai sempadan kesabaran


wahai sahabatku,semoga kalian dilimpahi rahmatNya walau di mana kamu berada. Sesungguhnya Dia sentiasa berada disisimu, Dia sentiasa mencintaimu...sedangkan kamu selalu menyalahiNya. Lihatlah perbuatan kalian...kalian sentiasa menyalahi takdirNya tetapi Dia tidak membalas dengan kehinaan ke atas kalian, malah Dia membalas dengan nikmat yang banyak. Dia menghidupkan dirimu sehingga ke hari ini, Dia memberi kalian rezeki berupa wang, rumah, makanan, minuman, pakaian, kecantikkan, kegembiraan, persahabatan, keluarga dan bermacam-macam lagi. Tidak dapat kalian menghitungnya walau kalian sendiri pakar dalam ilmu perakaunan...

wahai saudaraku, dengarlah kata hatimu bukan bisikan nafsumu..."OPEN YOUR HEART". Bukalah hati kalian dengan seluas-luasnya, nikmat yang kalian terima terlalu banyak dan bersyukurlah dengan nikmat itu. Balaslah nikmat itu dengan sifat sabar akan kelakuanNya( takdir )...kehidupan ini adalah sebuah permainan, di mana ujian dan dugaan itu sebagai penentu kemenangan dan kekalahan. Bukan kesusahan itu sahaja sebagai ujian, kesenangan juga adalah satu ujian. Hanya dengan mata hati seorang manusia itu dapat menilai. Nilailah dengan mengharap keredhaanNya dan keampunanNya.

BERSABARLAH DEMI REDHANYA

Mengapa kalian hanya melihat pada satu sudut yang hujung sahaja, bukan melihat keseluruhannya. Kalian lebih menafikan takdirNya tetapi kalian tidak mengetahui akan kehadiran hikmah takdirNya. Lihatlah kezaliman kalian sendiri cipta pada diri kalian sendiri. Mungkin saya bukan berada ditempat kalian tetapi tidak mustahil saya tidak diuji oleh Tuan Empunya Dunia. Selagi kita bergelar manusia (hambaNya), kita tetap akan diuji walaupun mereka itu orang kafir.

Ujian dan dugaan setiap manusia sangat berbeza, hanya orang-orang yang bersabar akan berjaya melaluinya. Semakin sabar seseorang itu semakin berat ujian yang mereka terima. Itulah jalan "KEKASIH ALLAH"...Ujian dan dugaan yang kalian lalui bukanlah sekadar penderitaan dan Dia(Allah) tidak mahu menolong kalian tetapi Dia terlalu mencintai kalian. Lihatlah penderitaan Rasulullah SAW, bukankah baginda adalah manusia yang terbaik dan juga kekasihNya ? bukan Allah mengujinya tanpa membantu baginda tetapi Allah mahu meletakkan baginda sebagai makhluk yang terbaik daripada setiap ciptaanNya.

Bagaimana penduduk Thaif yang tidak mahu menerima baginda tetapi baginda tidak membalasnya dengan kekejaman. Baginda mendoakan, semoga keturunan mereka ada yang menyebarkan agama yang mulia ini. Lihatlah sikap Rasulullah, jadilah baginda sebagai tauladan.

Lihatlah kehebatan 4 wanita yang digariskan oleh Rasulullah SAW. Mereka adalah Khadijah, Maryam, Fatimah dan Asiah. Mereka diuji dengan ujian yang amat berat berbanding kita hanyalah sedikit ujian yang diberi tetapi mereka bersabar  dan redha akan kehendak Ilahi. Lihatlah kemuliaan Fatimah Az-Zahra, anak Rasulullah yang diuji dengan keletihan, kepenatan dalam menjalani tanggungjawab sebagai seorang isteri kepada Saidina Ali. Lihatlah Fatimah, menjalani tanggungjwabnya tanpa rasa susah walaupun dia hidup dalam keadaan serba kesusahan. Tidak mengeluh dan tidak mengharap bantuan orang lain. Mengapa Saidina Ali tidak berkahwin lain ketika Fatimah disisinya ? Ini kerana Fatimah telah melakukan tugasnya seperti 4 dalam 1. Maksudnya jika hari ini ada lelaki berkahwin 4, empat orang isteri tersebut bersamaan dengan kekuatan Fatimah Az-Zahra. Lihatlah kesabaran seorang wanita ini dalam menjalani tanggungjawabnya. Tidakkah kalian mahu seperti wanita yang bernama Fatimah ini ? 

Kita lihat pula ibu kepada umat Islam iaitu Siti Khadijah.Kehadirannya dalam hidup Rasulullah SAW membawa seribu makna dan sukar ada pengganti sepertinya walaupun ada sejuta wanita solehah di dunia hari ini. Dia memberi Rasulullah SAW zuriat iaitu Ruqayyah, Ummu Kalsum, Zainab, Al-Qasim, Abdullah, dan Fatimah Az-Zahra. Khadijah juga menjaga dan membenarkan kata-katanya ketika Rasulullah menjadi rasul dan kaumnya tidak menerima ajaran yang benar. Khadijah menjadi ibu ketika Rasulullah dalam ketakutan, Khadijah menjadi isteri ketika Rasulullah memerlukannya, Khadijah menjadi kekasih saat Rasulullah memerlukan cinta dan Khadijah menjadi sahabat ketika Rasulullah dipulaukan oleh kaumnya...itulah keistimewaan Khadijah buat Rasulullah, perlu dicontohi buat semua bakal isteri,ibu-ibu dan wanita solehah. Sentiasa setia disisi suaminya walaupun dugaan yang hebat menerjah keluarganya. Pernah suatu ketika Saidatina Aishah bertanya kepada Rasulullah kerana Aishah begitu cemburu akan Khadijah walaupun Khadijah sudah wafat. Rasulullah SAW membalasnya :

" Demi Allah, wahai Aishah! belum ada ganti yang lebih baik daripada Khadijah. Dia beriman kepadaku ketika orang lain termasuk keluarga dan kaumnya mengingkariku. Dia memeluk Islam, menyara hidupku, menghabiskan kekayaannya menyeru ke jalan Allah di saat orang lain memulaukanku. Dia memberiku zuriat yang tidak akan diperoleh daripada perempuan lain."

Lihatlah kehebatan wanita unggul dalam Islam, tidakkah kalian ingin menjadi seperti mereka? Wahai sahabatku, bersabarlah demi redhaNya. Dengan sifat yang sabar, kita boleh menjadi seperti seteguhnya karang yang ada di laut. Tidak goyah walau dihempas badai yang melanda yang melanda. Kita tetap akan menjadi lemah-lembut sepertimana rumput yang akur dengan belaian angin, tetapi kita tidak akan luruh dan tumbang akibat ditampar dengan ribut taufan yang sengaja datang untuk menyapa kekuatan SABAR yang kita ada.

Sahabatku, contohilah wanita suci Maryam Binti Imran. Walaupun pelbagai tohmahan yang dilontarkan tetapi tidak sesekali Maryam membalasnya dengan dendam. Hanya kekuatan kesabaran yang ada dalam dirinya, Maryam laluinya dengan hati yang tenang. Kerana keyakinan akan janji-janji Allah, dia lalui dengan tabah. Tidakkah sukar perjalanan wanita ini? Menempuhi ujian yang bukan kehendak dirinya dan menerimanya dengan penuh kesabaran. Ingatlah sahabatku, orang-orang yang beriman menjalani kehidupan mereka dengan kesabaran sedangkan orang-orang kafir menjalani kehidupan mereka dengan sesalan.

Jadilah isteri Firaun sebagai tauladan, Asiah Binti Mazahim.Menjadi seorang isteri raja yang paling zalim di dunia tetapi apa yang dibalas oleh Asiah? sabar dan redha. Tidak pernah sesekali meminta ditinggalkan walaupun dia sendiri menderita dan terseksa. Menjadi ibu angkat kepada Nabi Musa as, demi cinta akan kehadiran anak kecil itu Asiah berhadapan dan menyakinkan Firaun Laknatullah, disaat Firaun mengarahkan semua bayi-bayi lelaki dibunuh. Tidakkah kalian malu akan perbuatan kalian terhadap suami kalian, sedangkan sejarah telah menceritakan dahulu kehebatan wanita syurga ini. Adakah suami kalian seperti Firaun yang mengaku dia sebagai Tuhan? Kalian hanya bertengkar dan terseksa kerana perkara dunia tetapi Asiah diseksa bukan kerana hal dunia, Asiah terbunuh kerana cinta pada kekasih hakiki iaitu Allah SWT.

Wahai wanita solehah, andai dulu kalian amat mencintai suami kalian, cintailah mereka hari ini demi Allah dan Islam ! Didiklah anak-anak kalian demi kasih kepada Islam ! Hanya Islam dapat mengubah kehidupan kalian...Islam mengajar kalian erti kasih, sayang, rindu, cinta dan syukur. Islam membawa kalian akan maksud sebenar CINTA ALLAH SWT !!!

Allah SWT tidak pernah mengasari kekasih-kekasihnya, malah membelai mereka dengan penuh nikmat syurga. Begitu juga kita, jangan mengasari orang yang kita sayang...terima segala ujian dan dugaan dengan penuh kesabaran demi redha Allah SWT.

Wahai penilai cinta ! saya juga bukanlah wanita yang sempurna tetapi tidak salah kita semua sempurnakan kehidupan ini dengan mencontohi mereka demi mencari redha Allah, demi Islam ! waallahu'alam...

Wednesday, July 28, 2010

manUSia oH maNUSia


kadang-kala aku terfikir, adakah dunia yang tersedia ini hanya untuk hidup dan mati ? andai untuk mati, mengapa perlu hidup ? TETAPI andai untuk hidup, mengapa perlu mati ? andai manusia tahu ketentuan Ilahi pasti mereka tidak akan mensia-siakan kehidupan ini...pasti ada hikmah di sebalik kehidupan ini. aku yakin terlalu sedikit yang memikirkan tentang diri mereka sendiri, untuk apa mereka dihidupkan di dunia ini...Tidakkah manusia terfikir kehidupan di dunia ini sebuah ciptaan yang luar biasa ? mana tidaknya, lihatlah disekeliling kita bumi yang terbentang luas, langit yang memutih melindungi kehidupan bumi dari cahaya matahari, pohon-pohon yang menghijau melambai-lambai, haiwan-haiwan yang pelbagai jenis dan warna dan juga ragam manusia yang berbeza-beza. Tidakkah ia suatu ciptaan yang begitu luar biasa ?

KEJAMKAH KAMU ?

wahai saudaraku, fahamilah dirimu sendiri andai kamu mahu mengerti mengapa kamu diciptakan ? Jangan kamu berlaku kejam ke atas dirimu sendiri...wahai penilai cinta, dunia yang tercipta untuk kamu menyatakan kesyukuran kepada Penciptamu. lihatlah kejadian dirimu yang penuh hikmah dan luar biasa...perhatikanlah pergerakan jemarimu yang tidak jemu bergerak untuk tuannya, kerdipan matamu yang sentiasa memandumu melihat keindahan alam, nyanyian jantungmu yang selalu memberi kamu ruang untuk terus bernafas, adakah itu perkara biasa bagimu ? Tidakkah kamu terfikir bahawa segala ciptaan itu ada penciptaNya ?

ketahuilah sahabatku, terciptanya dirimu kerana PenciptaMu terlalu menyayangimu. Oleh itu, masihkah kamu mahu menzalimi dirimu sendiri ? mana mungkin Allah SWT menjadikan kamu tanpa kasih sayangNya, kerana terlalu menyayangi dirimu Allah SWT menciptakan kamu...TETAPI kamu sendiri telah mencipta kezaliman pada dirimu sendiri. ya, kamu memang zalim !!! zalim terhadap pemikiranmu....zalim terhadap tubuh badanmu...zalim terhadap segala-galanya...

kamu kata kamu sayang dirimu TAPI kamu masih tidak mahu berubah...kamu selalu memandang serong terhadap pendakwah-pendakwah, dan berkata...

" Jangan sibuk hal aku, aku punya suka apa aku nak buat. Kubur masing-masing, yang kena seksa aku bukan kau. "

ya Allah, mengapa ungkapan itu yang diperkatakan saat bumi semakin mengharapkan kehancurannya...? ya, memang kubur kamu untuk kamu dan kubur aku untuk aku TETAPI kita semua dijadikan dalam kejadian yang sama, kita berada dalam bumi yang sama, kita ditanam dalam tanah yang sama...tidakkah kamu terfikir ? tiada beza kita sebagai hambaNya melainkan hamba yang bertaqwa.

wahai pencinta Ilahi, lihatlah kasih Rasulullah saw, baginda sanggup menerima separuh seksaan umatnya supaya umatnya tidak merasai keperitan saat kematian yang memeritkan...TETAPI kamu hanya senang menerima seksaan itu, tidakkah kamu berfikir? sahabatku, kematian bukan suatu perjalanan yang boleh dibuat bahan permainan. itulah perjalanan yang perlu dilalui oleh setiap makhluk di muka bumi ini. kamu tidak akan kembali selepas nyawamu diambil....fikirkanlah saudaraku. Hanya sekali kamu dihidupkan di dunia ini, tiada dua dan juga sebaliknya. Tiada makhluk akan hidup selama-lamanya.

Janganlah kamu berlaku kejam ke atas dirimu sendiri...sayangilah dirimu kerana dirimu dilahirkan dalam suasana yang penuh kasih sayang. Cintailah hatimu kerana terciptanya hati untuk dicintai dan mencintai.

wahai permata hatiku, Allah SWT sentiasa bersamamu. Di mana sahaja kemu berada, tiada Dia lupa akan kamu. Dia mendengar dan memerhati kamu. Tiada Dia lakukan melainkan untuk kamu, setiap perkara yang Dia lakukan hanyalah untukmu berFIKIR...!! BERSANGKA BAIKLAH kamu terhadap setiap rencana hidupmu, kerana Dia lebih Mengetahui berbanding dirimu sendiri.

dari hati ke hati, tiada lafaz untuk diungkapkan melainkan kumohon seribu kemaafan kepada pembaca andai setiap kata-kata ku ini menggores perasaanmu...aku hanya menjalankan kewajipanku sebagai sahabatmu...maafkan hamba yang hina ini.


Monday, June 28, 2010

AHLI SUFFAH DI ZAMAN RASULULLAH SAW


Ahli suffah merupakan satu kumpulan sahabat Rasulullah saw yang daripada mereka dikatakan bermulanya aliran sufi dan tasauf. Mereka dikenali sebagai golongan miskin yang menumpang tinggal di beranda masjid Rasulullah saw di kota Madinah. Perbelanjaan mereka ditanggung oleh orang ramai. Mereka terdiri daripada golongan yang tidak memiliki apa-apa, lemah dan tiada kemahiran dalam urusan kehidupan harian. Walaupun keadaan ahli suffah yang demikian kaum Muslimin tidak menganggapkan mereka sebagai beban. Kaum Muslimin yang berkemampuan dengan ikhlas hati memberi bantuan kepada golongan yang lemah itu.

Apabila perkembangan Islam telah pesat ternyata ahli suffah sangat penting. Tindakan Rasulullah saw menyediakan tempat di beranda masjid baginda saw untuk satu puak yang menjadi ahli masjid merupakan satu tindakan yang sangat berhikmah. Ahli suffah yang juga ahli masjid Rasulullah saw merupakan kumpulan yang hampir dengan baginda saw. Mereka yang mula-mula mendengar pengajaran Rasulullah saw. Mereka sentiasa hadir di dalam majlis baginda saw. Mereka mempelajari al-Quran secara langsung daripada Rasulullah saw. Peranan mereka adalah umpama 'khazanah' yang menyimpan segala macam pengajaran Nabi Muhammad saw. Mereka hanya menceburi satu bidang dalam kehidupan ini, iaitu bidang ilmu Rasulullah saw. Dari kalangan mereka terdapat orang-orang yang sangat mendalam pengetahuan mereka tentang agama Islam. 'Khazanah ilmu agama' itulah yang memainkan peranan penting sebagai mubaligh yang menyampaikan ajaran Islam kepada kaum Muslimin yang tidak sempat hadir di dalam majlis Rasulullah saw dan juga kepada mereka yang baharu memeluk agama Islam. Ahli suffah, ahli masjid Nabi saw atau ahli sufi pada zaman Rasulullah saw merupakan golongan yang bekerja di dalam bidang ilmu sepanjang zaman. Mereka merupakan gedung ilmu dan juga penyebar ilmu. Al-Quran memberikan perhatian istimewa kepada ahli suffah, ahli masjid Nabi saw, ahli sufi atau ahli ilmu itu. Allah SWT memperakui kepentingan sumbangan mereka kepada perkembangan agamaNya.

" Untuk orang-orang yang telah terikat pada jalan Allah, yang tidak sanggup lagi berusaha pada bumi, disangka oleh orang-orang yang tidak tahu bahawa mereka adalah puak yang berada, dari sangat mereka menahan diri. Engkau dapat mengenal mereka daripada tanda mereka. Mereka tidak meminta-minta kepada manusia dengan memaksa-maksa. Maka apa pun harta yang kamu belanjakan sesungguhnya Allah amat Tahu. (ayat 273 :surah al-Baqarah) ".

" Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa sebagian dari setiap golongan di antara mereka tidak pergi  untuk memperdalam pengetahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat menjaga dirinya. "(Ayat 122: surah at-Taubah)

Ahli suffah atau ahli sufi pada zaman Rasulullah saw merupakan orang yang tiada memiliki apa-apa dan tidak berkehendakkan apa-apa kecuali Allah SWT dan RasulNya. Mereka dikenali sebagai faqir yang terikat pada jalan Allah SWT. Jalan Allah SWT bukan semata-mata berperang mengangkat senjata. Memelihara al-Quran dan al-Hadis juga merupakan jihad yang besar. Perkembangan Islam yang pesat memerlukan tenaga yang khusus dalam bidang tersebut. Urusan memelihara ilmu agama sangat penting. Jika tenaga khusus itu disalurkan kepada bidang pekerjaan harian maka urusan pemeliharaan ilmu agama akan terjejas, sedangkan ianya sangatlah penting bagi pekembangan agama. Al-Quran menganjurkan agar sebahagian daripada umat Islam tidak keluar berperang. Jihad bagi golongan yang dibenarkan tidak keluar ke medan perang itu adalah memperdalamkan dan mengembangkan ilmu agama. Tuhan telah memberikan garisan pembahagian tugas dalam pembagunan masyarakat dan perkembangan agama. Berperang mengangkat senjata dan berjuang mengembangkan ilmu agama sama-sama mendapat penghargaan dari Allah SWT. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, " Manusia yang paling hampir dengan darjat Kenabian adalah ahli ilmu. Ahli ilmu menunjukkan kepada manusia apa yang dibawa oleh Rasul. Ahli jihad pula berjuang dengan pedang mereka membawa apa yang dibawa oleh Rasul ".

Oleh kerana ahli ilmu itu tidak melibatkan diri dalam urusan mencari rezeki, maka mereka tidak dapat mengecapi kemewahan dan kesenangan. Mereka hidup di dalam kefaqiran. Mereka faqir pada pandangan dunia tetapi kaya dengan ilmu Tuhan dan RasulNya. Lidah dan pena mereka adalah pedang jihad mereka. Ilmu yang mereka pelajari dan sebarkan itulah darah syahid mereka. Rasulullah saw memperakui bahawa golongan demikian sebagai golongan yang paling hampir dengan darjat kenabian. Ilmu mereka adalah percikan ilmu nabi-nabi. Rohani mereka cermin jernih yang menerima pancaran cahaya kenabian. Golongan seperti ini akan dihantarkan Tuhan dari masa ke masa pada setiap zaman. Tugas mereka adalah memperbaiki kerosakan yang berlaku pada ilmu agama, terutamanya dalam perkara akidah (tauhid).

Mereka adalah ahli suffah yang bekerja sepenuh masa untuk Rasulullah saw selain pemimpin kanan Rasulullah saw iaitu Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali. Kebanyakan daripada masa baginda saw dihabiskan di dalam masjid. Pengajaran, perancangan, strategi, polisi, wawasan dan lain-lain keluar daripada Rasulullah saw dan disebarkan oleh ahli suffah. Mereka menyampaikan berita yang Rasulullah saw mahu sampaikan kepada kaum Muslimin. Ahli suffah yang bergerak mempastikan latihan ketenteraan berjalan dengan teratur sebagai persiapan mempertahankan agama dan negara Islam. Ahli suffah yang mengatur pembuatan senjata-senjata perang seperti baju besi dan pedang. Ahli suffah juga menggerakkan kaum Muslimin mempersiapkan unta dan kuda mereka supaya apabila diperlukan semuanya berada dalam keadaan siap sedia. Kehadiran ahli suffah, masjid Nabi saw atau ahli sufi itulah memudahkan Rasulullah saw mentadbir negara Islam dari dalam masjid baginda saw. Ketika bilangan tentera Islam masih sedikit, ahli suffah ikut serta berperang. Jadi, ahli suffah adalah satu kumpulan yang sangat aktif bekerja untuk Allah SWT dan Rasul-Nya tanpa gaji. Apa yang Rasulullah saw berikan itulah bahagian mereka bagi menyara kehidupan mereka. Mereka reda dengan yang demikian. Mereka lebih suka nama mereka tidak dikenali kerana mereka tidak mencari nama dan kebesaran. Apa yang mereka cari hanyalah keredhaan Allah SWT dan RasulNya.

dari hati ke hati, jangan menghukum manusia tanpa usul periksa andai kamu bukan orang dekat dengan Allah...Allah tidak menyuruh kita menghukum manusia lain...begitu juga ahli suffah atau ahli sufi, di zaman Nabi saw lagi sudah ada golongan yang suka menyebarkan ilmu seperti Uwais al-Qarni dan ramai lagi...mereka inilah pengerak Islam.   


Monday, June 14, 2010

suara2 muslimah 1

salam perjuangan buat semua sahabat2 yang bekerja keras dalam berdakwah...tidak kira dalam apa jua bentuk dakwah yang dilakukan, semoga bersabar dan teruskan perjuangan itu...

sudah sehari berlalu selepas 3 hari aku mengikuti kursus pra-perkahwinan di kolejku (Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor)...selama 3 hari, bermacam-macam tips dan nasihat dari ustaz dan ustazah. aku bangga menjadi warga kuis. mana tidaknya, di saat pelajar2 universiti yang lain sibuk mencari sesuatu di luar tetapi dalam kuis berbagai perkara boleh dilakukan...boleh bershopping, boleh beriadah, boleh memancing, boleh mendapat ilmu akhirat mahupun duniawi dan bermacam2 lagi. sebenarnya bukan ini aku ingin ceritakan tetapi tentang pengalamanku ketika mengikuti kursus pra-perkahwinan itu sendiri.

sahabat2ku, setiap yang bernyawa pasti akan melalui kematian dan begitu juga dengan berpasangan. tiada dalam dunia ini, makhlukNya tidak mahu berpasangan. malah, haiwan sendiri pun mahu berpasangan tetapi lainnya dengan manusia...ciptaan Allah yang Maha Hebat.

wahai sahabatku, setiap manusia mahukan kebahagiaan tetapi kebahagiaan yang dimiliki hanya seketika berbanding kesengsaraan...mengapa?lihatlah dirimu sendiri, wahai penilai kebahagiaan...lihatlah orang2 disekelilingmu...mengapa dirimu tidak bahagia..?mengapa orang2 disekelilingmu tidak merasai kebahagiaan..?hatimu sengsara dan hati2 orang disekelilingmu juga menderita...

ketahuilah sahabatku, hatimu sengsara dan hati2 orang disekelilingmu juga menderita...ini kerana hatimu tiada mengingati Allah SWT juga jarang merindui Rasulullah SAW....kenapa?ada mengatakan, " aku mencintai Allah dan aku juga mencintai Rasulullah..." tetapi jalan yang mana kamu mencintai Allah dan Rasulullah? adakah dengan solatmu ataupun kamu sekadar mengikut sunnah Rasulullah berkahwin lebih dari satu...?

wahai sahabatku, kalau itu yang kamu banggakan...bukan itu yang Allah SWT kehendaki kerana dalam Kitab Allah (al-Quran) telah beberapa kali berpesan dan mengingatimu supaya 'bersyukur' atas nikmat yang diberi...nikmat yang bagaimana?lihatlah dirimu sendiri, kejadianmu, kemiskinan dan kekayaanmu, hidupmu dan lihatlah alam ciptaan Allah ini...itu semua adalah nikmat yang diberi oleh Allah. jangan kamu mengatakan Allah tidak memberi rezeki kepada kamu kerana pengakuan itu menghina Allah SWT atas setiap takdirNya...mana mungkin Allah membiarkan hambaNya sengsara dan menderita...mana mungkin Allah tidak membantumu dan mana mungkin Allah tidak mengasihi hambaNya...sedangkan dalam surah At-Taubah,dipertengahan ayat ke-40. Allah berfirman,yang bermaksud :

" Jangan kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama dengan kita..."

Allah sentiasa bersama dengan kamu wahai sahabatku...susah dan senang kamu, Allah sentiasa dekat denganmu.kamu dalam kesulitan malah kamu dalam kegembiraan juga Allah bersamamu. dengan itu, bersyukurlah kerana Allah masih menyayangimu dan berbaik sangkalah pada Allah.

JAGALAH HATIMU

Rasulullah saw bersabda,

" sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad dan rupa-rupa kamu, tetapi dia melihat kepada hati-hati kamu." 

rupamu, hartamu, ibadahmu, ilmumu dan sebagainya yang Allah beri padamu...itu adalah sekadar fitnah duniawi. walau cantik dan hodohnya rupamu itu tidak menjamin dirimu dalam rahmat Allah SWT...walau kamu mempunyai berjuta-juta harta dan berpuluhan ribu rumah dan keretamu tapi itu tidak menjamin mu untuk mudah melalui sirratul mustaqim...walau sebanyak mana ibadahmu tetapi hatimu tidak ikhlas hanya untuk pandangan umum itu tidak menjamin dirimu menjadi pengikut Rasulullah saw...dan walau banyak mana pun usahamu untuk berjaya dalam mengejar dan mempelajari ilmu tetapi ilmu itu untuk kepentingan dirimu sendiri bukan hanya semata-mata berniat untuk Allah itu bukan menjamin dirimu tergolong orang-orang arif...buatlah sebanyak mana kamu mampu tetapi kamu lupa kepada Yang Memberi dan ingkar pada Yang Maha Melihat...kamu telah menzalimi dirimu sendiri.

ingatlah sahabatku, dunia yang kamu cinta ini adalah sementara kejadiaannya dan akhirat yang kamu benci adalah selama-lamanya. lindungilah wajahmu itu dengan bersyukur kepada Allah, jadilah seorang pemberi sedekah dengan niat yang baik kerana hartamu hanyalah amal yang ikhlas, buatlah sebanyak mana ibadahmu dengan niat hanya untuk membalas pemberian dariNya iaitu bersyukur atas nikmatNya dan carilah ilmu dimana-mana kerana ilmu Allah itu terlalu luas tetapi dengan niat untuk mendekatiNya bukan untuk kepentingan dirimu sendiri.

CINTA, SYUKUR DAN FAQIR

Balaslah CINTA Allah dengan berSYUKUR dan kamu akan merasai dirimu itu FAQIR hanya Allah lebih berkuasa atas semua kejadianmu dan alam ini.

jika rumahtanggaMU runtuh, jadilah tiang untuk menahannya kerana kamu mampu untuk menahannya...jika rumahtanggaMU tiada kebahagiaan, carilah kebahagiaan dalam kehidupanmu...jika rumahtanggaMU itu hilang rasa kasih sayang, carilah cintaMU yang sebenar sebelum malapnya nyalaan rindu...

ingatlah pesanku, andai suatu ketika nanti Rasulullah saw datang melihatmu sebagai umatnya...apakah tindakanmu?fikir-fikirkanlah...jika kamu tidak bersedia, apakah kematian juga kamu masih tidak bersedia?

dari hati ke hati, andai dirimu rasa bahagia maka bersyukurlah kerana itu nikmat Allah SWT...andai dirimu merasai derita maka ingatlah Allah SWT sentiasa bersamamu...kamu tidak berada keseorangan.

Sunday, June 13, 2010

teruskan perjuanganmu....


salam perjuangan buat semua sahabat2 yang disayangi...
bermula penulisanku dulu sehingga ke hari ini...
hanya dua patah perkataan yang dapatku ungkapkan...
" teruskan perjuangan"

wahai saudaraku...tiada kata yang dapatku tujukan melainkan kemaafan atas kesilapan dan kegagalanku untuk meneruskan perjuangan penulisan...atas sebab2 tertentu yang tidak dapat dielakkan, aku hanya mampu buat sekadar yang mampu.hari inilah...hasilnya selepas beberapa bulan aku menyepi tanpa khabar berita.

sahabat...teruskan perjuanganmu!!
walau apa pun bentuk yang mampu kau lakukan itu adalah terbaik di sisi Allah SWT. jangan kau merasai diri kau tiada baik untuk agamamu, sedangkan dirimu adalah yang terbaik...ketahuilah permataku, andai perjuanganmu itu hambar...mengapa tidak dirimu teruskan tanpa melihat kekecewaan??bukankah Rasulullah SAW berdakwah selama 13 tahun hanya berapa orang sahabat yang bersama baginda?adakah Rasulullah SAW berdakwah, yang menerimanya berjuta-juta ataupun beribu-ribu..?tidak sahabatku, Rasulullah SAW melihat masa depan...walaupun sedikit tetapi di situlah kekuatan Islam...ingatlah sahabat, jangan putus asa dan jangan bangga bila pengikutmu ramai...

wahai pejuang Islam,
dirimu diperhatikan dan diikuti oleh setiap pengikutmu...jangan kamu berkata-kata dengan bangga akan kehebatan yang seketika walaupun sepatah ayat, kerana itu memudaratkan dirimu kelak...

wahai pencinta perjuangan...
andai dirimu ada dosa2 yang dahulu...jangan kamu menghitung akan kesilapan dan kesalahan dirimu yang lepas...hitunglah perasaan bersyukurmu kepada penciptamu, Tuhanmu iaitu Allah swt. ketahuilah sahabatku, perasaan syukur itu adalah tanda dirimu membalas kasih sayang Allah SWT yang telah menciptamu. perasaan inilah yang paling sedikit dilakukan oleh manusia...oleh itu jadilah orang yang pertama atau orang yang sentiasa bersyukur kepada Allah walaupun di sekelilingmu tidak mampu untuk mengucapkannya...

dari hati ke hati, tiada kata yang indah andai dirimu tidak mengerti ertinya cinta, syukur dan seorang hamba...

Wednesday, January 20, 2010

~FAHAMI RAHSIA TAKDIR-NYA~

" JANGAN KAMU MENENTANG TAKDIR ALLAH, IA ADALAH KEPUTUSAN-NYA YANG AGUNG, TIADA SIAPA YANG BOLEH MENAHAN ATAU MEMBANTAH. TURUN DAN NAIKNYA NAFASMU ITU ADALAH TAKDIR ALLAH, KAMU AKAN BINASA JIKA MENAHANNYA. TERIMALAH TAKDIR-NYA DENGAN KEREDHAAN WALAUPUN KAMU BUTA UNTUK MEMAHAMI KEBAIKANNYA. INGATLAH BAHAWA DIA TIADA AKAN MENZALIMIMU WALAU SATU ZARAH SEKALIPUN, TETAPI ENGKAU SEBENARNYA BERPALING DARI PERATURAN-NYA. PERBANYAKKAN WIRID UNTUK MEMAHAMI RAHSIA-NYA, HANYA KEKASIH YANG MEMAHAMI BAHASA KEKASIHNYA, "WAHAI ORANG YANG MEMPUNYAI NAFSU MUTMAINNAH ( JIWA YANG SENTIASA TENANG ), KEMBALILAH KEPADA TUHANMU DENGAN KEADAAN ENGKAU REDHA KEPADA-NYA, DAN DIA REDHA KEPADAMU. MAKA MASUKLAH ENGKAU KE DALAM KUMPULAN HAMBA-HAMBAKU, DAN MASUKLAH KE DALAM SYURGAKU ! (AL-FAJR : 27-30)"