Monday, June 28, 2010

AHLI SUFFAH DI ZAMAN RASULULLAH SAW


Ahli suffah merupakan satu kumpulan sahabat Rasulullah saw yang daripada mereka dikatakan bermulanya aliran sufi dan tasauf. Mereka dikenali sebagai golongan miskin yang menumpang tinggal di beranda masjid Rasulullah saw di kota Madinah. Perbelanjaan mereka ditanggung oleh orang ramai. Mereka terdiri daripada golongan yang tidak memiliki apa-apa, lemah dan tiada kemahiran dalam urusan kehidupan harian. Walaupun keadaan ahli suffah yang demikian kaum Muslimin tidak menganggapkan mereka sebagai beban. Kaum Muslimin yang berkemampuan dengan ikhlas hati memberi bantuan kepada golongan yang lemah itu.

Apabila perkembangan Islam telah pesat ternyata ahli suffah sangat penting. Tindakan Rasulullah saw menyediakan tempat di beranda masjid baginda saw untuk satu puak yang menjadi ahli masjid merupakan satu tindakan yang sangat berhikmah. Ahli suffah yang juga ahli masjid Rasulullah saw merupakan kumpulan yang hampir dengan baginda saw. Mereka yang mula-mula mendengar pengajaran Rasulullah saw. Mereka sentiasa hadir di dalam majlis baginda saw. Mereka mempelajari al-Quran secara langsung daripada Rasulullah saw. Peranan mereka adalah umpama 'khazanah' yang menyimpan segala macam pengajaran Nabi Muhammad saw. Mereka hanya menceburi satu bidang dalam kehidupan ini, iaitu bidang ilmu Rasulullah saw. Dari kalangan mereka terdapat orang-orang yang sangat mendalam pengetahuan mereka tentang agama Islam. 'Khazanah ilmu agama' itulah yang memainkan peranan penting sebagai mubaligh yang menyampaikan ajaran Islam kepada kaum Muslimin yang tidak sempat hadir di dalam majlis Rasulullah saw dan juga kepada mereka yang baharu memeluk agama Islam. Ahli suffah, ahli masjid Nabi saw atau ahli sufi pada zaman Rasulullah saw merupakan golongan yang bekerja di dalam bidang ilmu sepanjang zaman. Mereka merupakan gedung ilmu dan juga penyebar ilmu. Al-Quran memberikan perhatian istimewa kepada ahli suffah, ahli masjid Nabi saw, ahli sufi atau ahli ilmu itu. Allah SWT memperakui kepentingan sumbangan mereka kepada perkembangan agamaNya.

" Untuk orang-orang yang telah terikat pada jalan Allah, yang tidak sanggup lagi berusaha pada bumi, disangka oleh orang-orang yang tidak tahu bahawa mereka adalah puak yang berada, dari sangat mereka menahan diri. Engkau dapat mengenal mereka daripada tanda mereka. Mereka tidak meminta-minta kepada manusia dengan memaksa-maksa. Maka apa pun harta yang kamu belanjakan sesungguhnya Allah amat Tahu. (ayat 273 :surah al-Baqarah) ".

" Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa sebagian dari setiap golongan di antara mereka tidak pergi  untuk memperdalam pengetahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat menjaga dirinya. "(Ayat 122: surah at-Taubah)

Ahli suffah atau ahli sufi pada zaman Rasulullah saw merupakan orang yang tiada memiliki apa-apa dan tidak berkehendakkan apa-apa kecuali Allah SWT dan RasulNya. Mereka dikenali sebagai faqir yang terikat pada jalan Allah SWT. Jalan Allah SWT bukan semata-mata berperang mengangkat senjata. Memelihara al-Quran dan al-Hadis juga merupakan jihad yang besar. Perkembangan Islam yang pesat memerlukan tenaga yang khusus dalam bidang tersebut. Urusan memelihara ilmu agama sangat penting. Jika tenaga khusus itu disalurkan kepada bidang pekerjaan harian maka urusan pemeliharaan ilmu agama akan terjejas, sedangkan ianya sangatlah penting bagi pekembangan agama. Al-Quran menganjurkan agar sebahagian daripada umat Islam tidak keluar berperang. Jihad bagi golongan yang dibenarkan tidak keluar ke medan perang itu adalah memperdalamkan dan mengembangkan ilmu agama. Tuhan telah memberikan garisan pembahagian tugas dalam pembagunan masyarakat dan perkembangan agama. Berperang mengangkat senjata dan berjuang mengembangkan ilmu agama sama-sama mendapat penghargaan dari Allah SWT. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, " Manusia yang paling hampir dengan darjat Kenabian adalah ahli ilmu. Ahli ilmu menunjukkan kepada manusia apa yang dibawa oleh Rasul. Ahli jihad pula berjuang dengan pedang mereka membawa apa yang dibawa oleh Rasul ".

Oleh kerana ahli ilmu itu tidak melibatkan diri dalam urusan mencari rezeki, maka mereka tidak dapat mengecapi kemewahan dan kesenangan. Mereka hidup di dalam kefaqiran. Mereka faqir pada pandangan dunia tetapi kaya dengan ilmu Tuhan dan RasulNya. Lidah dan pena mereka adalah pedang jihad mereka. Ilmu yang mereka pelajari dan sebarkan itulah darah syahid mereka. Rasulullah saw memperakui bahawa golongan demikian sebagai golongan yang paling hampir dengan darjat kenabian. Ilmu mereka adalah percikan ilmu nabi-nabi. Rohani mereka cermin jernih yang menerima pancaran cahaya kenabian. Golongan seperti ini akan dihantarkan Tuhan dari masa ke masa pada setiap zaman. Tugas mereka adalah memperbaiki kerosakan yang berlaku pada ilmu agama, terutamanya dalam perkara akidah (tauhid).

Mereka adalah ahli suffah yang bekerja sepenuh masa untuk Rasulullah saw selain pemimpin kanan Rasulullah saw iaitu Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali. Kebanyakan daripada masa baginda saw dihabiskan di dalam masjid. Pengajaran, perancangan, strategi, polisi, wawasan dan lain-lain keluar daripada Rasulullah saw dan disebarkan oleh ahli suffah. Mereka menyampaikan berita yang Rasulullah saw mahu sampaikan kepada kaum Muslimin. Ahli suffah yang bergerak mempastikan latihan ketenteraan berjalan dengan teratur sebagai persiapan mempertahankan agama dan negara Islam. Ahli suffah yang mengatur pembuatan senjata-senjata perang seperti baju besi dan pedang. Ahli suffah juga menggerakkan kaum Muslimin mempersiapkan unta dan kuda mereka supaya apabila diperlukan semuanya berada dalam keadaan siap sedia. Kehadiran ahli suffah, masjid Nabi saw atau ahli sufi itulah memudahkan Rasulullah saw mentadbir negara Islam dari dalam masjid baginda saw. Ketika bilangan tentera Islam masih sedikit, ahli suffah ikut serta berperang. Jadi, ahli suffah adalah satu kumpulan yang sangat aktif bekerja untuk Allah SWT dan Rasul-Nya tanpa gaji. Apa yang Rasulullah saw berikan itulah bahagian mereka bagi menyara kehidupan mereka. Mereka reda dengan yang demikian. Mereka lebih suka nama mereka tidak dikenali kerana mereka tidak mencari nama dan kebesaran. Apa yang mereka cari hanyalah keredhaan Allah SWT dan RasulNya.

dari hati ke hati, jangan menghukum manusia tanpa usul periksa andai kamu bukan orang dekat dengan Allah...Allah tidak menyuruh kita menghukum manusia lain...begitu juga ahli suffah atau ahli sufi, di zaman Nabi saw lagi sudah ada golongan yang suka menyebarkan ilmu seperti Uwais al-Qarni dan ramai lagi...mereka inilah pengerak Islam.   


1 comment:

Alasmal said...

Mohon izin untuk copy artikel ini..Amat bmakna bg saya...